Pengenalan
Ilmu maqasid syari'ah (مقاصد شرعية) merupakan satu bidang ilmu yang tidak dinafikan kepentingannya dalam ilmu-ilmu perundangan Islam, ilmu usul dan kaedah fiqh, ilmu fatwa, siyasah (politik), ilmu fiqh kontemporari dan lain-lain cabang ilmu. Ini kerana ilmu maqasid syari'ah dijadikan sebagai batu ukur dengan mengkaji hikmah bagi suatu tujuan pensyariatan dalam setiap hukum atau fatwa baru yang ingin dikeluarkan, iaitu dengan meletakkan kemaslahatan umat sebagai tujuan utama supaya penetapan sesuatu perkara tersebut bersifat dinamik, realistik dan sesuai mengikut keadaan zaman dan tempat. Sekiranya ilmu maqasid syari'ah ini diabaikan, maka akan berlakulah penetapan hukum yang tidak sejahtera selain mengakibatkan kucar kacir dalam kehidupan masyarakat.
Pengertian Maqasid Syari’ah
Maqasid bererti
tujuan atau matlamat yang ingin dicapai dalam sesuatu perkara. Dalam konteks
ini, maqasid syari’ah bererti matlamat yang telah ditetapkan oleh
syara’ dalam penetapan sesuatu hukum
. Al-Izz Abdul Salam (2002) menyatakan bahawa "syariat itu keseluruhannya membawa kepada kebaikan, sama ada menolak
kemudharatan ataupun mendatangkan
kemaslahatan".
Imam I’lal al-Fasi (1991) menerangkan bahawa “matlamat umum pensyariatan dalam Islam adalah untuk
mengimarahkan bumi dan menjaga prinsip-prinsip kehidupan di dunia serta
berterusan dalam membuat kebaikan.”
Ada
juga yang menyifatkan maqasid ini sebagai hikmah dan maslahah sama ada di dunia
dan di akhirat. Selain itu, ia bermaksud "menarik kebaikan dan menolak
kemudharatan juga membawa maksud menghalalkan perkara kebaikan dan mengkeji
keburukan, selain bermaksud kebahagiaan di dunia dan keselamatan di akhirat" (Abdul Latif al-Hamim).
Pembahagian Maqasid Syari’ah
Menurut pandangan Imam Al-Syatibi
(1416), Allah mencipta syariat dengan tujuan untuk mendatangkan kebaikan kepada
umat dan menghindarkan keburukan dan kerosakan daripada mereka, dan dibahagikan
kepada tiga kategori, iaitu :
a) Al-Dharuriyyat -الضروريات (kepentingan asas)
Satu keperluan yang amat penting di
mana kehidupan manusia tidak akan bertahan tanpanya, dan apabila keperluan ini
luput akan menyebabkan kerosakan dan kebinasaan. Seluruh umat telah bersepakat bahawa syariat
ini telah ditetapkan untuk menjaga lima kepentingan asas (al-dharuriyyat
al-khamsah-الضروريات الخمسة) iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta dan dikenali
sebagai kepentingan (al-dharuri-الضروري).
b) Al-Hajiyat -الحاجيات (keperluan biasa)
Ia merupakan
keperluan hidup untuk memudahkan kehidupan, yang mana tanpanya kehidupan
manusia akan menjadi tidak sempurna dan mengalami kesempitan, namun tidak
sampai ke yang membinasakan sekiranya tidak menggunakan konsep al-hajiyat. Contohnya: Solat jama' qasar dalam solat, tidak berpuasa di bulan Ramadhan bagi orang musafir dan lain-lain. Maka, jika tidak mengambil rukhsah dalam hal musafir (tidak berbuka puasa), ia tidak menyebabkan kebinasaan bahkan hanya memberi sedikit kepayahan ketika itu.
c) Al-Tahsiniyat -التحسينيات(pelengkap kecantikan)
Iaitu keperluan
yang tidak sampai ke tahap kedua di atas. Ia hanya bertujuan sebagai pelengkap
kepada kehidupan, keselesaan dan kecantikan. Tidak membinasakan dan tidak mendatangkan kesusahan jika tiada al-tahsiniyat. Cuma, tidak lengkap dan tidak cantik dipandang mata ibarat hadiah tanpa pembalut dan riben. :) Contohnya : Adat bersalam dengan orang yang lebih tua, akhlak yang baik ketika bersama keluarga dan masyarakat, etika yang berprinsip dalam kerjaya serta berbudi bahasa. Perkara-perkara ini hanya sebagai pelengkap kecantikan pada diri seseorang.
Jika Berlaku Pertembungan Antara Setiap Bahagian
Dalam pembahagian ini, menunjukkan bahawa setiap
maslahah yang akan diambil perlu berdasarkan turutan mengikut kepentingan yang
telah ditetapkan. Maslahah pada perkara al-dharuriyyat perlu didahulukan daripada maslahah pada perkara al-hajiyat.
Begitu juga maslahah pada perkara al-hajiyat perlu didahulukan daripada al-tahsiniyat.
Begitu juga jika berlaku pertembungan antara pembahagian-pembahagian dalam al-dharuriyyat, maka pemeliharaan agama perlu lagi didahulukan daripada nyawa, memelihara nyawa lebih didahulukan daripada akal, akal daripada keturunan dan mempertahankan keturunan lebih daripada harta. Jika konsep dan prinsip ini dipelihara, maka akan makmurlah dunia, tenteramlah jiwa-jiwa manusia dan tegaklah syi'ar Islam melata di seluruh dunia. Ini kerana, tujuan bagi setiap pensyariatan ini adalah bagi mendatangkan maslahah kepada hamba/umat manusia dan menjauhkan mereka daripada mudarat.
Penutup
Dengan memahami hakikat sebenar tujuan pensyariatan, iaitu mewujudkan maslahah (kebaikan atau kemudahan) dan melenyapkan mafsadah (kerosakan atau kesusahan) dalam konsep ibadah, jelas menunjukkan bahawa umat Islam dilarang untuk menokok tambah atau pelaksanakan syariat Islam tanpa ilmu yang sahih agar ia tidak menyusahkan atau menyebabkan umat Islam lari daripada agama yang bersifat universal dan mudah ini. Justeru, golongan yang memahami ilmu maqasid syari'ah pasti akan merasa kemanisan sesuatu pensyariatan, dapat melaksanakan ibadah dengan tekun dan sempurna serta meningkatkan ketakwaan dan keyakinan terhadap suruhan Allah. Wallahu a'lam.
Setakat ini dahulu penerangan dan pencerahan tentang konsep maqasid syari'ah dalam Islam. Lain-lain subtopik akan dikupas secara lebih terperinci pada entri akan datang, InsyaAllah.
Rujukan :
1) Al-Fasi, ‘Ilal. 1991. Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyah wa Makarimuha. Rabat: Dar al-Gharb al-Islami. (مقاصد الشرعية الإسلامية ومكارمها لعلال الفاسي)
2) Al-Hamim, Abdul Latif. Al-Dharuri fi ‘Ilmi Usul al-Fiqh.
(الضروري في علم أصول الفقه لعبد اللطيف الهميم)
(الضروري في علم أصول الفقه لعبد اللطيف الهميم)
4) Al-Izz Abdul Salam. 2002. Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam. Beirut
: Dar al-Ma’rifah. (قواعد الأحكام في مصالح الأنام للعز عبد السلام)
5) Al-Raisuni, Ahmad. 1992. Nazariyyat al-Maqasid’Inda al-Imam al-Syatibi.
Beirut : Al-Maahad al-‘Alami li al-Fikr al-Islami. (نظريات المقاصد عند الإمام الشاطبي للدكتور أحمد الريسوني)
6) Al-Syatibi. 2000. Al-Muwafaqat. Giza: Dar Ibnu ‘Affan. (الموافقات للشاطبي)
-Cik Nin-
No comments:
Post a Comment