Wednesday, 25 April 2012

Hiburan Diharuskan- Ep. 2


Assalamualaikum wbt buat semua pembaca. Seperti yang dijanjikan, entri episod kedua ini merupakan sambungan kepada pendapat ulama' berkenaan perbezaan hukum berhibur dalam Islam. Pengharaman aspek hiburan dalam kehidupan telahpun Cik Nin jelaskan sebelum ini, dan sekarang kita akan melihat  pula kepada dalil ulama' yang mengharuskan hiburan serta beberapa jawapan/penolakan terhadap dalil pengharamannya.

Dalil Pengharusan Muzik dan Hiburan

Beberapa ulama’ dan fuqaha’ membolehkan penggunaan muzik dan hiburan berdasarkan beberapa dalil, selagi mana ia tidak bercanggah dengan tuntutan syara’. Mereka juga membantah dalil-dalil yang dikemukakan oleh kelompok ulama yang melarang muzik dan nyanyian.

Ø  Mengikut makna perkataan saut yang terdapat dalam surah Al-Isra’ :
  (َوَاسْتَفْزِزْ مَنِ اسْتَطَعْتَ بِصَوْتِك)
yang membawa erti nyanyian, menurut Ibnu Kathir (2004) bahawa dari segi bahasa, perkataan “saut” itu merupakan kiasan kepada makna sebenar kerana secara umumnya, manusia tidak dapat mendengar suara iblis. Manusia hanya dapat merasakan bisikan-bisikan iblis yang mengajak manusia supaya menderhaka kepada Allah taala. Maka, ia tidak dimaksudkan dengan nyanyian/hiburan semata-mata.

Ø  Perkataan samidun  dalam Surah al-Najm yang dimaksudkan dengan “lengah dalam keadaan menyanyi-nyanyi”.
(َوَأَنْتُمْ سَامِدُون)
    Menurut Ibn Kathir (2004), “samidun” dalam ayat ini diriwayatkan oleh al-Hasan sebagai orang-orang yang lengah, dan itu juga merupakan riwayat Ali bin Abi Talib. Adapun riwayat daripada Ibn Abbas menyatakan bahawa “samidun bererti orang-orang yang sombong dan hal yang sama dikemukakan oleh al-Suddi. Maka, tiadalah kaitannya dengan nyanyian seperti yang telah dinyatakan.

Ø  Pemahaman tentang perkataan lahwa al-hadith dalam Surah Luqman :
(ِوَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الحَدِيث)
dibantah oleh kelompok yang membolehkan muzik dan nyanyian. Menurut mereka, perkataan “lahwa al-hadith” tidak boleh dimaksudkan dengan “nyanyian”.

Al-Dhahhak mentafsirkan perkataan ini dengan mengatakan bahawa ia membawa maksud kemusyrikan, iaitu setiap perkataan yang menghalangi ayat-ayat Allah daripada didengari selain mencegah manusia untuk mengikuti jalan-jalan Allah[1] dan ia tidak hanya tertumpu kepada nyanyian sahaja.

Al-Qardhawi (1987) juga meletakkan hujah Imam Ibn Hazm yang menyatakan bahawa perkataan ini menunjukkan erti kesesatan, dan perkataan “lahwa” itu sendiri membawa maksud permainan, atau perkara yang sia-sia misalnya seperti caci maki dan sebagainya. Sanggahan Ibn Hazm juga berpandukan kepada beberapa segi :
1) Ia bukan hujah kepada sesiapa pun kecuali Rasulullah s.a.w
2) Para sahabat dan tabi'in berselisih pendapat dengannya.
3)Dalil al-Quran sendiri membatalkan hujah mereka kerana ayat itu 
  menyifatkan  (لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا) iaitu Allah tidak mencela 
 orang yang menggunakan perkataan untuk bersuka ria tetapi, mencela 
 mereka yang menggunakannya untuk menyesatkan manusia.

Al-Mawardi melontarkan pandangannya berikutan tafsiran yang paling rajih tentang ayat ini, iaitu daripada Hasan yang berpendapat bahawa perkataan “lahwa al-hadith” ini bermaksud semua perkara yang melalaikan daripada pengabdian diri kepada Allah. Ini kerana lafaz ini bersifat umum, dan ia tidak dikhususkan kepada nyanyian sahaja mahupun perbuatan syirik sahaja ataupun lain-lain tafsiran.

Merujuk kepada hadith pengharaman muzik dan hiburan pula menurut Ibnu Hazm, hadith-hadith yang dikemukakan sebagai dalil untuk mengharamkan muzik dan nyanyian adalah hadith-hadith yang tidak dapat dipertanggungjawabkan, kebanyakkannya bertaraf  maudu’(hadis rekaan) atau maqtu’ (sanadnya terputus). Al-Ghazali dan Ibnu al-Nahwa juga menyatakan bahawa setiap yang diriwayatkan adalah terbatal dan adalah rekaan semata-mata.

Selain itu, terdapat riwayat daripada nabi Muhammad s.a.w yang membawa maksud  kepada keharusan meraikan majlis dengan hiburan dan paluan gendang. Seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda : 
اعلنوا هذا النكاح واجعلوه في المساجد واضربوا عليه بالدفوف"[2]
Ertinya :” Iklankanlah pernikahan ini dan lakukanlah ia di masjid, dan pukullah rebana di atas pernikahan itu”.

Selain terdapat keharusan dalam berhibur, perkataan mahupun lirik dalam unsur hiburan itu perlu dipelihara dan haruslah ia tidak bertentangan dengan syara’ sepertimana yang diriwayatkan oleh Khalid bin Zakuan daripada Ar-Rabie’ binti Mu’awwiz bin ‘Afra’:
 “دخل علي النبي صلى الله عليه وسلم غداة بني علي ، فجلس على فراشي كمجلسك مني وجويرات يضربن بالدف يندبن من قتل من آبائي يوم بدر ، حتى قالت إحداهن : وفينا نبي يعلم ما في غد ، فقال النبي صلى الله عليه وسلم : لا تقولي هكذا وقولي كما كنت تقولين [3]
Ertinya : “Masuk Nabi Muhammad s.a.w  ketika mula-mula berkesedudukan denganku (selepas perkahwinan) lalu baginda duduk di atas hamparan itu seperti duduknya aku. Di ketika itu beberapa hamba perempuanku sedang memukul duf dan meratapi kematian bapa-bapaku dalam Peperangan Badar. Salah seorang daripada mereka mendendangkan kata-kata: Di sisi kami Nabi yang mengetahui perkara akan datang. Lantas Nabi s.a.w menegur: “Janganlah kau berkata seperti ini dan teruskan nyanyianmu (seperti mana yang telah kau dendangkan sebelum ini).” 

Pendapat Ulama' Tentang Muzik dan Hiburan

Di sini, cukup sekadar Cik Nin menukilkan pendapat dua orang imam yang masyhur dari dua zaman yang berbeza.

Imam al-Syafi’e  :

Beliau telah membahagikan hiburan kepada tiga jenis:
a) Hiburan yang tidak memberikan sebarang kesan samada kesan baik atau buruk kepada manusia dan hukumnya makruh kerana dianggap seperti membuang masa.
b) Hiburan yang membawa keburukan kepada individu dan masyarakat. Hukumnya haram dan tidak boleh diamalkan. Contohnya berhibur sehingga melupakan tanggungjawab seperti mengabaikan solat.
c)Hiburan yang membawa kebaikan kepada individu dan masyarakat. Hiburan ini digalakkan bergantung kepada sejauhmana faedah diperolehi.
·  
     Adapun berkenaan  nyanyian atau muzik pula, beliau berpendapat dalam kitabnya Adab al-Qada’ bahawa perbuatan tersebut adalah makruh dan hampir kepada perkara-perkara batil. Sesiapa yang memperbanyakkan mendengar muzik, maka dia adalah safih (bongkak) dan ditolak penyaksiannya. Juga tidak harus mendengar nyanyian daripada seorang perempuan yang bukan mahram, di tempat terbuka atau di sebalik tabir, samada hamba atau bukan hamba.

Prof Dr. Yusof al-Qardhawi :

Beliau menyatakan bahawa para ulama’ bersetuju tentang pengharamannya jika ia mengandungi unsur-unsur kejahatan, kefasikan atau menggalakkan maksiat dan setiap senikata yang menyalahi adab Islam adalah haram. Ulama’ juga bersepakat bahawa harus penggunaan muzik di tempat-tempat keraian untuk menzahirkan kegembiraan seperti dalam majlis perkahwinan, mengalukan kedatangan orang yang sudah lama tidak bersua dan pada hari raya. Beliau juga berpendapat bahawa lagu pada zatnya adalah halal, kerana asal sesuatu perkara adalah harus selagi tiada sebarang nas yang mengatakan ia haram.

Syeikh al-Qardhawi juga menjadikan niat berhibur sebagai ukuran utama dalam penetapan hukumnya. Jika mendengarkan lagu dengan niat melakukan maksiat kepada Allah, maka dia adalah fasik. Sesiapa yang mendengar dengan niat untuk menenangkan fikiran dan menguatkan lagi ketaatan terhadap Allah, serta mencergaskan diri untuk berbuat kebaikan maka dia seorang yang taat dan baik. Namun, jika perbuatan mendengar tidak diniatkan untuk apa-apa sekalipun, ia dikira sebagai aktiviti yang melalaikan dan dimaafkan seperti bersiar-siar di taman,duduk sambil memandang ke luar tingkap dan lain-lain.

Beliau juga menetapkan beberapa syarat yang perlu dijaga dalam berhibur :
i.  Tajuk lagu dan mesej hendaklah tidak bertentangan dengan adab-adab dan pengajaran Islam.
ii.  Cara penyampaian lagu perlu mempunyai peranan seperti gaya persembahan yang tidak merangsang kepada kemungkaran.
iii. Menghabiskan waktu dalam berhibur adalah tidak boleh kerana ia menggagalkan manusia dalam menunaikan tanggungjawab yang lebih berhak.
iv. Pendengar muzik perlu memahami dirinya sendiri seperti apabila lagu tersebut menaikkan nafsu, maka pendengar perlu untuk menjauhinya agar terselamat daripada fitnah.

Kesimpulan

Kebolehan atau tidak penggunaan hiburan dalam kehidupan adalah bergantung kepada bagaimana cara atau pengurusan kita dengan hiburan. Boleh jadi hiburan itu haram jika ia mendorong kita melakukan maksiat kepada Allah. Adapun muzik dan hiburan ketuhanan yang mendekatkan diri kita kepada Allah adalah dibolehkan selagimana kita tidak mengabaikan kewajipan dan tanggungjawab yang lain.

Wallahu a'lam.


Rujukan
Al-Dimasyqi, Abu al-Fida’ Ismail Ibn Kathir. 2004. Al-Quran al-‘Azim. Terj. Bahrun Abu Bakar. Jil. 21. hlm. 160-162. Penerbit Sinar Baru Algensido Bandung.

Al-Ghazali, Abi Hamid Muhammad bin Muhammad. 2005. Ihya’ Ulum Al-Din. hlm. 382-429. Kaherah: Darul Tawzi’ wa al-Nasyr al-Islamiyah

Al-Khin, Mustofa & Al-Bugho, Mustofa & Al-Syarbaji, Ali. 2010. Kitab Fikah Mazhab Syafi’e. hlm. 1985-1987. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn.Bhd.

Al-Muhally, Jalaluddin Muhammad bin Ahmad & Al-Suyuti, Jalaluddin Abdul Rahman bin Abi Bakar. 2001. Tafsir al-Imamayn al-Jalalayn. Kaherah: Darul Hadith

Al-Qardhawi, Yusof. 1987. Fatawa Mu’asirah. Jil. 3&4. hlm. 688-693. Quwait: Darul Qalam al-Nasyr wa al-Tawzi’. 



[1]  Ibn Kathir, 2004, hlm. 161.
[2]  Al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Nikah ‘An Rasulillah s.a.w, Bab Ma Ja’a fi I’lan al-Nikah.
[3]  Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Maghazi, Bab Syuhud al-Malaikat Badran.

No comments: