Monday, 30 April 2012

Pemeliharaan Agama (حفظ الدين)

Pendahuluan

Pemeliharaan agama merupakan antara perkara al-dharuriyyat (الضروريات) dalam maqasid syariah. Jika gagal dalam memelihara agama, maka kehancuranlah yang bakal kita hadapi samada dalam kehidupan di dunia mahupun di akhirat kelak. Fitrah manusia adalah berkehendakkan kepada agama, cuma ia berbeza mengikut tafsiran dan kepercayaan masing-masing. Imam al-Ghazali menyatakan bahawa setiap manusia memiliki kecenderungan untuk mencintai dirinya, cintai kesempurnaan dan mencintai kewujudannya. Maka, kehidupan beragama yang baik adalah dengan cara mematuhi peraturan hidup yang komprehensif dan garis panduan yang sempurna iaitu melalui al-Quran dan al-sunnah.  Seterusnya, ia membentuk jati diri seorang muslim yang patuh dan sentiasa istiqamah memakmurkan bumi dengan benih-benih iman yang berkualiti serta mampu mengembangkan bunga-bunga taqwa yang mempesonakan!

Islam Agama Fitrah

Fitrah manusia inginkan kebaikan, kesejahteraan dan keselamatan dalam kehidupan. Siapa yang tidak inginkan perkara-perkara sebegini maka mereka bukanlah seorang manusia yang mempunyai ruh kehidupan. Seperti sebuah kisah benar, yang mana seorang kafir yang sering mempersendakan Islam dan memperlekeh al-Quran dan al-Sunnah telah mengucap dua kalimah syahadah dan memeluk Islam ketika dirinya hampir dibaham jerung ketika karam di lautan. Apabila telah selamat di pesisir pantai, dia benar-benar telah memeluk Islam dan menjadikan Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang terbaik. Begitu juga analogi yang diberi apabila seseorang yang dicampakkan ke dalam kandang harimau dan tiada bantuan manusia ketika itu, maka kepada siapakah yang dia harapkan untuk membantunya? Perasaan inginkan bantuan daripada Tuhan, Yang Maha Berkuasa atas tiap sesuatu mendorong mereka terus melafazkan kata “Tuhan, selamatkanlah aku!”. Maka, jelas bahawa mereka sebenarnya mengaku adanya suatu kuasa lain yang hebat dan yang menguasai serta mengawal apa yang terjadi di langit dan di bumi. Itulah TUHAN! Agama merupakan fitrah setiap insan, cuma kadangkala ia dinafikan oleh keterbatasan akal dan fikiran logik manusia. Agama yang diredhai Allah adalah Islam, dan Allah telah menjadikan Islam sebagai fitrah seperti firman Allah :(إن الدين عند الله الإسلام).

Bagaimana Manusia Memelihara Agama (حفظ الدين)

Pemeliharaan agama dalam kehidupan merupakan salah satu agenda utama dalam penciptaan manusia sebagai khalifah di dunia ini. Jika aspek agama yang menjadi matlamat manusia, maka akan selamat sejahteralah ke atas setiap penghuni dunia. Adapun jika agama tidak diendahkan, malah dipandang asing oleh manusia maka tidak hairanlah berlakunya kerosakan di muka bumi, pertumpahan darah dan akan hancurlah setiap institusi keluarga dan masyarakat menyebabkan kehidupan di dunia tidak tenteram. Maka, beberapa garis panduan telah diberikan oleh para alim ulama dalam menegakkan agama sebagai paksi kehidupan kita. Antaranya:

a)      Allah mewajibkan berjihad melalui harta dan nyawa demi menjaga kesucian agama Islam.

Jika dilihat dalam konsep maqasid syariah itu sendiri, pemeliharaan agama diletakkan sebagai yang pertama dan utama berbanding pemeliharaan ke atas nyawa, akal, keturunan mahupun harta. Maka, nyawa, akal, keturunan dan harta haruslah dikorbankan demi mempertahankan agama Allah yang suci. Firman Allah :
 [1](وقاتلوا في سبيل الله الذين يقاتلونكم)
Maksudnya: Dan berperanglah kamu di jalan Allah terhadap mereka yang memerangi kamu.

b)      Hukum bunuh bagi sesiapa yang murtad.

Ini juga salah satu bentuk pemeliharaan agama dalam Islam, iaitu barangsiapa yang sengaja keluar daripada Islam maka dia akan dibunuh. Sepertimana hadith Nabi s.a.w yang bersabda : “[2]من بدل دينه فاقتلوه
Maksudnya: Sesiapa yang menukar agamanya (keluar dari Islam) maka bunuhlah dia.

Begitu juga hadith nabi yang lain yang menyatakan bahawa darah orang Islam yang halal ditumpahkan ke bumi adalah darah orang Islam yang murtad, selain penzina dan pembunuh. Ini bagi memastikan bahawa tiada yang mempermainkan agama Islam, selain wajib ke atas setiap muslim untuk mempertahankan Islam sebagai satu-satunya agama yang benar di sisi Allah subhanahu wa taala.

c)       Mengharamkan amalan bidaah dan sihir.

Sabda Rasulullah s.a.w : 
اجتنبوا السبع الموبقات : قالوا : يا رسول الله وما من؟ قال : الشرك بالله والسحر[3]...
Maksudnya: Jauhilah kamu daripada tujuh perkara yang membinasakan. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah tujuh perkara itu? Baginda berkata : Syirik kepada Allah, sihir ..

Amalan bidaah dan sihir merupakan amalan yang jelas bertentangan dengan apa yang dianjurkan Islam dan sunnah Nabi s.a.w. Apabila manusia beramal dengan perkara-perkara tersebut, bermakna mereka tidak lagi berpegang kuat kepada ajaran Islam yang sebenar lantas mengambil jalan lain dengan mensyirikkan Allah. Sihir merupakan salah satu bentuk syirik jaliy yang jelas kelihatan dan pensyirikannya terhadap Allah s.w.t.

Kesimpulan

Sebagai umat Islam, kita wajib memelihara kesucian dan kehormatan Islam daripada diperlekehkan oleh golongan kafir mahupun golongan munafik dan fasik. Namun, langkah yang paling utama perlu diambi oleh umat Islam adalah kembali semula kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah dan berpegang kuat padanya, nescaya iman kita tidak akan tergugat seterusnya dapat menarik umat Islam yang lain supaya kembali mengamalkan Islam sebagai cara hidup yang sempurna. Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa sebagaimana firmanNya:
(يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله حق تقاته[4]..)  dan berjihadlah di jalan Allah dengan sebenar-benar jihad sebagaimana firman Allah : (وجاهدوا في الله حق جهاده[5]). Pasti Allah menjanjikan maqam dan darjat yang terbaik buat umatNya yang sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan keagungan Islam.



[1] Surah al-Baqarah : 190.
[2] Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jihad.
[3] Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Wasaya.
[4] Surah Ali Imran : 102
[5] Surah al-Hajj : 78

No comments: