Wednesday, 25 April 2012

Hiburan Diharamkan Ep. 1


Assalamualaikum wbt.

Apa khabar anda yang sedang membaca entri Cik Nin hari ini? Harap-harap semuanya sihat dan ceria =) Entri kali ini, Cik Nin ingin berkongsi mengenai hiburan dalam Islam. Ada orang kata hiburan itu fitrah, ada orang lain pula kata hiburan itu fitnah. Mana satu yang betul kan? Kita memang suka akan perkara-perkara yang menghiburkan, kerana dengan berhibur hati jadi senang, tidak marah dan rasa seronok dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan. Jadi, eloklah kita bincangkan sedikit bagaimana fitrah yang diraikan Islam, dan garis panduan apa yang perlu kita patuhi.


Hiburan Itu Fitrah
  
Fitrah merupakan sifat semulajadi yang telah wujud dalam diri seseorang insan. Fitrah manusia menginginkan kecantikan, cintakan kebaikan dan kesempurnaan dan mendambakan keselesaan dan kerehatan. Justeru kerehatan boleh dikecap melalui sedikit hiburan. Selari dengan Islam sebagai agama fitrah, maka sudah pasti setiap apa yang ditentukan Allah adalah bertepatan dan tidak berlawanan dengan kehendak jiwa manusia.

          Pensyariatan dalam suatu perkara juga merupakan keputusan yang terbaik untuk memberi maslahah dan memelihara hambaNya dari kemudharatan, baik dari segi penjagaan agama itu sendiri, jiwa seseorang, akal, keturunan ataupun hartanya. Islam tidak membenarkan umat Islam berlebih-lebihan dalam setiap perkara, apatah lagi jika ia merosakkan perkara lima yang telah dinyatakan. Dan fitrah seorang muslim mestilah bertepatan dengan segala tuntutan tersebut serta batas-batas yang telah digariskan.

Begitu juga dengan konsep hiburan. Berhibur merupakan fitrah insan, dan setiap insan memerlukan hiburan untuk memberi kerehatan pada jiwa samada hiburan bersama keluarga, berkelah, mendengar muzik dan lain-lain. Imam Al-Ghazali (2003) juga menyatakan bahawa seluruh dunia adalah hiburan dan permainan. Sedikit dalam hiburan dapat menolong seseorang dalam situasi tegang oleh kerana manusia tidak akan mampu untuk sentiasa dalam keadaan serius dan kepahitan sepanjang masa kecuali jiwa para anbiya'. Justeru, secara umumnya Cik Nin nukilkan kata-kata Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi tentang hak manusia dalam berhibur namun perlu kepada beberapa penilaian.

"Setiap pendengar sebenarnya merupakan orang yang paling mahir dalam menentukan hukum seni muzik. Sekiranya nyanyian tersebut terdapat unsur yang menaikkan syahwat, mendorong ke arah kejahatan, menjadi lalai dan leka untuk mengerjakan ibadah, maka menjadi kewajipan atas setiap pendengar untuk menjauhinya dan menutup pintu fitnah itu demi memelihara dirinya dan agama."


Haram VS Halal

Hiburan melalui muzik mempunyai perselisihan pendapat di kalangan ulama', ada yang mengharamkannya dan ada juga yang mengharuskannya namun perlu kepada batas dan hadnya supaya manusia tidak terlalu asyik sehingga lalai dan gagal dalam melaksanakan tanggungjawab yang lebih penting. Walaupun muzik telah ada sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w lagi, namun baginda sendiri mengawal seni hiburan itu supaya tidak bercanggah dengan syari’at Islam. 

 Dalil Pengharaman Muzik dan Hiburan

Ulama yang melarang menggunakan muzik dan nyanyian antaranya adalah Ibnu Al-Jawzi (tokoh hadith Mazhab Hanbali), Imam Al-Qurtubi dan Muhammad bin Ali Al-Syawkani. Mereka mengajukan beberapa dalil sebagai hujah untuk mendukung pendapat mereka. Dalil-dalil yang mereka gunakan antara lain sebagai berikut.
                 
a) Dalil al-Quran

1)         Firman Allah : (Al-Quran, Al-Isra’, 17:64)
(وَاسْتَفْزِزْ مَنِ اسْتَطَعْتَ بِصَوْتِك)
           Maksudnya : dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau   
           (iblis) dapat memujuknya dengan suaramu.

Ibn Kathir (2004) berkata bahawa perkara ini dimaksudkan dengan nyanyian, selain Mujahid mentafsirkannya sebagai hiburan dan nyanyian, yang mana ia menyebabkan kelekaan dan kelalaian manusia. Ibn Abbas pula menyatakan bahawa ayat ini bermaksud setiap perkara yang menyeru kepada maksiat kepada Allah. Begitu juga dikatakan oleh Qatadah dan Ibn Jarir.

Merujuk kepada Al-Muhally & Al-Suyuti (2001) pula, perkataan “saut” ini memberi makna nyanyian, seruling dan semua perkara yang mengajak kepada maksiat. Ini bermaksud nyanyian merupakan salah satu perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah kerana ia sebahagian daripada maksiat. Dan oleh sebab inilah nyanyian dilarang.

2)         Allah juga berfirman : (Al-Quran, Al-Najm, 53:59)
وَأَنْتُمْ سَامِدُون)
            Maksudnya : sedang kamu melengahkannya.

Perkataan “samidun” ini dimaksudkan dengan mereka yang lengah dan lalai (lahun ghafilun) dengan merujuk kepada Al-Muhally & Al-Suyuti (2001). Ibn Kathir (2004) pula menyatakan riwayat daripada Sufyan al-Thawri meriwayatkan daripada ayahnya, dari Ibn Abbas dengan berkata “Lagu (nyanyian) sangat menjadikan kami lengah.” Demikian juga yang dikemukakan oleh Ikrimah. Maka, dapat disimpulkan di sini bahawa ayat ini bermaksud kelalaian daripada melaksanakan kewajipan yang berpunca daripada lagu dan nyanyian.

3)         Selain itu, firman Allah taala : (Al-Quran, Luqman, 31:6)
 (وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الحَدِيث لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا)
Maksudnya :  dan ada di antara manusia yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejekan..

Ibn Kathir (2004) di dalam tafsirnya meletakkan pendapat daripada Ibn Abbas, Ibn Mas’ud, Ikrimah, Said bin Jubair dan Jabir yang menyatakan bahawa “lahwa al-hadith” dalam ayat tersebut adalah nyanyian. Adapun Mujahid mentafsirkannya sebagai nyanyian dan tabla, selain Al-Hasan al-Basri pula mentafsirkannya sebagai nyanyian dan seruling.


b) Dalil Hadith

1)         Dalam hadith Rasulullah s.a.w pula, diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa:
" إنما نهيت عن صوتين أحمقين فاجرين ، صوت عند نعمة مزمار شيطان و لعب ، و صوت عند مصيبة ، خمش وجوه ، و شق جيوب ، ورنة الشيطان.." [1]

“...Sesungguhnya saya melarang dua jenis suara, iaitu suara yang menunjukkan kedunguan dan kejahatan. Ketika menerima sesuatu kegembiraan dengan bermain-main, meniup seruling syaitan, dan suara (tangisan) orang yang ditimpa musibah dengan mancakar-cakar muka dan merobek-robek baju, disertai dengan ratapan-ratapan syaitan”


2)         Sabda Rasulullah s.a.w:  
"صوتان ملعونان ، صوت مزمار عند نعمة، و صوت ويل عند مصيبة"[2]
Dua suara yang dilaknat di dunia dan akhirat, iaitu bunyi seruling ketika menerima kegembiraan dan rintihan ketika menerima musibah.”

3)         Sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
"ليكونن من أمتي أقوام يستحلون الحر والحرير والخمر والمعازف"[3]

“Sesungguhnya akan terdapat dalam umatku orang-orang yang menghalalkan zina, sutera, khamar, dan muzik.”


4)         Seperti yang diriwayatkan :
عن نافع أنه قال: "سمع ابن عمر مزماراً، قال: فوضع أصبعيه على أذنيه، ونأى عن الطريق، وقال لي: يا نافع هل تسمع شيئاً؟ قال: فقلت: لا! قال: فرفع أصبعيه من أذنيه، وقال: كنت مع النبي صلى الله عليه وسلم ، فسمع مثل هذا! فصنع مثل هذا[4]
Diriwayatkan daripada Abi Daud dalam Sunannya, daripada Nafi’ bahawasanya dia berkata: terdengarlah Ibn Umar suara seruling, Nafi’ berkata “Lalu  Ibn Umar meletakkan kedua ibu jarinya ke dalam lubang telinganya, dan menjauhkan diri dari tempat itu. Apabila berada di tempat yang jauh, Ibn Umar berteriak kepadaku “Wahai, Nafi’, adakah kau masih mendengar suara seruling itu?” Maka aku menjawab: “Tidak, Umar”  Maka barulah Ibn Umar pun mengeluarkan jari daripada telinganya, lalu berkata: “Aku telah bersama Nabi Muhammad s.a.w, dan ketika baginda mendengar seperti ini, baginda berbuat seperti ini”

Kesimpulan

Berdasarkan dalil-dalil dari al-Quran dan hadith ini, mereka berpendapat bahawa mendengarkan muzik dan hiburan adalah haram dan tidak disangsikan keharamannya dan telah diriwayatkan oleh para sahabat dan salaf al-soleh bahawa muzik boleh menyebabkan tumbuhnya sifat kemunafikan dalam hati selain mengakibatkan kelalaian daripada melaksanakan tanggungjawab yang lain.

Betul ke haram hiburan ini? Tiada ulama' ke yang mengharuskan hiburan? Ye, ada. Tetapi, perbincangan tentang keharusan hiburan dalam Islam akan disambung pada entri akan datang, bersama dengan analisis perbandingannya. Cukuplah ini dahulu untuk pembacaan kalian-episod 1: Berhibur Dalam Islam. Semoga berjumpa di lain masa.


Rujukan
Al-Dimasyqi, Abu al-Fida’ Ismail Ibn Kathir. 2004. Al-Quran al-‘Azim. Terj. Bahrun Abu Bakar. Jil. 21. hlm. 160-162. Penerbit Sinar Baru Algensido Bandung.
Al-Ghazali, Abi Hamid Muhammad bin Muhammad. 2005. Ihya’ Ulum Al-Din. hlm. 382-429. Kaherah: Darul Tawzi’ wa al-Nasyr al-Islamiyah.
Al-Khin, Mustofa & Al-Bugho, Mustofa & Al-Syarbaji, Ali. 2010. Kitab Fikah Mazhab Syafi’e. hlm. 1985-1987. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn.Bhd.
Al-Muhally, Jalaluddin Muhammad bin Ahmad & Al-Suyuti, Jalaluddin Abdul Rahman bin Abi Bakar. 2001. Tafsir al-Imamayn al-Jalalayn. Kaherah: Darul Hadith

[1]  Al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Kitab  al-Janaiz ‘An Rasulillah s.a.w, Bab Ma Ja’a fi al-Rukhsah fi al-Buka’ ‘Alaal-Mayyit.
[2]  Al-Albani, Silsilah al-Sahihah, Bab Tahrim al-Alat al-Tarb.
[3]  Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Asyribah, Bab Ma Ja’a fi Man Yastahillu al-Khamar wa Yusammihi bi Ghairi Ismihi.
[4]  Abu Daud, Sahih Abi Daud, Kitab al-Adab, Bab Karahiyah al-Ghina’ wa al-Zumar.

No comments: