Saturday, 21 April 2012

Rasulullah s.a.w Kencing Berdiri ?!


Assalamualaikum wbt.. [ Beri salam sunat muakkad, jawab salam wajib! :) ].

Cik Nin tergerak nak beri penjelasan berkenaan hadith yang menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w kencing berdiri.. Sebab, pernah ditanya dan dipertikaikan :
"Kenapa perlu hadith yang menceritakan tentang perbuatan ini sedangkan itu bukan dari akhlak yang terpuji? Apatah lagi apabila Rasulullah s.a.w yang melakukannya. Boleh terimakah hadith ini?" 

Maka, dengan rasa perlu untuk cuba memberi pencerahan, Cik Nin sempat rujuk satu/dua kitab sahaja sebagai rujukan iaitu Kitab Sahih Bukhari, Fathul Bari dan Kitab Sahih Muslim ( masa tak cukup nak buat research pada rujukan lain). Jika ada apa-apa penambahan atau pembetulan, silalah berkongsi juga ya!

Dalam Sahih Bukhari, hadith tentang kencing (selepas ini disebut bawl(بول)- istilah Bahasa Arab) secara berdiri ada disebut dalam Kitab Wudhuk, Bab Bawl Sambil Berdiri dan Duduk.Terdapat banyak lafaz hadith yang diriwayatkan oleh perawi. 


Antara hadith yang diriwayatkan:

1) Riwayat Abu Huzaifah bermaksud "Nabi mendatangi tempat pembuangan sampah suatu kaum lalu baginda bawl  sambil berdiri. Kemudian minta dibawakan air maka aku pun mendatangi baginda seraya membawa air, lalu baginda berwudhuk."

2) Riwayat Imam Ahmad bermaksud "Baginda mendatangi tempat pembuangan sampah suatu kaum. Aku pun menjauh dari baginda. Maka, baginda mendekatkanku hingga berada di belakangnya, lalu baginda bawl  sambil berdiri. Kemudian, baginda minta dibawakan air lalu berwudhuk seraya menyapu di atas kedua khuf."

3) Riwayat Abu Huzaifah bermaksud : "Aku pernah mengalami bersama Nabi sedang berjalan. Lalu baginda mendatangi tempat pembuangan sampah suatu kaum di belakang tembok, kemudian berdiri sebagaimana salah seorang dari kamu berdiri, maka baginda pun membuang air. Aku menjauh dari baginda, lalu baginda beri isyarat kepadaku sehingga aku mendatanginya. Aku berdiri di belakang sampai baginda selesai."


Berdasarkan hadith-hadith di atas, beberapa persoalan diajukan.


1) "Mengapa mereka riwayatkan hadith nabi bawl berdiri ini?"

Kepentingan adanya hadith ini adalah untuk menunjukkan kepada kita tentang keharusan untuk membuang air secara berdiri (BUKAN WAJIB diikuti), dan ia perlu melihat kepada kondisi dan keperluan seseorang (akan dijelaskan).


2) "Boleh ke bawl sambil berdiri di tepi-tepi jalan tu?"

Jika diperhatikan, hadith-hadith tersebut menyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w berhenti di tempat pembuangan sampah dan membuang air secara berdiri di situ, yang mana tempat ini kebiasaannya jauh dari tempat manusia berkumpul. Tempat pembuangan sampah ini tidak menjadi laluan untuk umum, maka ia tidak mendatangkan mudarat kepada mereka.

Selain itu, tempat ini gembur dan terkumpul padanya sampah-sampah sarap ( dan memang tempat kotor). Salah satu hikmahnya adalah supaya air tidak terpercik kembali pada orang yang membuang air tersebut. Ini juga membuktikan bahawa baginda s.a.w tidaklah membuang air di tembok-tembok atau dinding bangunan kerana jika ia berlaku, ia akan menyebabkan tembok kotor dengan air kencing dan memberi mudarat kepada orang lain yang lalu lalang, selain air akan terpercik pada si pelaku itu sendiri. 

Seterusnya, perlu untuk melihat kepada keadaan dan situasi yang membuatkan baginda s.a.w bawl  secara berdiri. Baginda merupakan Rasulullah s.a.w, iaitu individu yang terlalu sibuk menguruskan hal ehwal umat, menziarahi rakyat, duduk dalam sesuatu majlis dalam tempoh yang lama dan sebagainya. Maka, perlu untuk baginda qada' hajat secepatnya tanpa membuang masa yang ada. 


3) Kenapa Nabi Muhammad s.a.w panggil sahabat datang dekat dengan baginda?

Kerana keperluan sahabat untuk menghalang baginda daripada dilihat oleh orang yang lalu di situ. Sahabat datang dari belakang baginda, bukan menghampiri dari arah depan. Dan pastinya para sahabat r.a tidak melihat kepada aurat baginda.


Kesimpulan

Pada pendapat Cik Nin, yang paling penting untuk ditegaskan adalah, Nabi Muhammad s.a.w bukan saja-saja bawl  secara berdiri melainkan kerana adanya keperluan yang lebih baginda diutamakan ketika itu (dan mungkin kurang/tiada tandas awam). Adapun pada zaman sekarang, masyarakat tidak terlalu menyibukkan diri dengan akhirat atau urusan umat ( masih ada banyak waktu) selain kita ada banyak tandas awam. Maka, silalah qada' hajat dengan keadaan yang beradab kerana ada diriwayatkan oleh Abdul Rahman Hasanah bermaksud : " Baginda buang air kecil sambil duduk sebagaimana halnya wanita." -Disahihkan oleh Daruqutni dan lain-lain. Ini kerana posisi duduk lebih dapat menutup aurat serta lebih terhindar dari percikan air (bawl)  tersebut. Dan bawl  secara berdiri ini bukan satu kebiasaan baginda s.a.w.

Fikir-fikirkan dan selamat beramal! :)

Wallahu a'la wa a'lam.


-Cik Nin-


No comments: