Thursday, 7 June 2012

Pemeliharaan Harta (حفظ المال)


Pendahuluan

Harta adalah aset yang penting dalam kehidupan manusia. Jika tiada harta, maka keperluan asasi manusia tidak dapat dipenuhi kerana proses transaksi atau apa-apa aktiviti muamalat seperti jual beli, sewa, wasiat dan zakat semuanya berkaitan dengan harta. Pemeliharaan dan penggunaan harta dengan amanah amat dituntut dalam Islam kerana melalui harta juga, manusia boleh terhumban ke dalam gaung kemaksiatan dan kehancuran. Ini disebutkan oleh Allah sebagai ujian, fitnah, perhiasan dan permainan kepada manusia dalam banyak ayat, antaranya :
 ( المال والبنون زبنة الحياة الدنيا[1]) yang bermaksud : harta benda dan anak pinak merupakan perhiasan kehidupan di dunia. 
Allah juga berfirman : (واعلموا أنما أموالكم وأولادكم فتنة[2]) yang bermaksud : Dan ketahuilah bahawa harta benda dan anak-anak kamu itu hanyalah fitnah (ujian). Maka, kuasa menggunakan dan memelihara harta adalah di bawah seliaan pemilik harta itu sendiri, samada saham harta tersebut sebagai kebaikan buatnya, ataupun sebagai kemudharatan baginya kelak.

Cara Memelihara Harta (حفظ المال)

Pemeliharaan harta menurut syara’ terbahagi kepada dua aspek, iaitu dari segi wujud (وجود): iaitu melakukan sesuatu yang boleh mewujudkan, mengekalkan atau mengembangkannya, dan dari segi ‘adam (عدم): iaitu memelihara sesuatu daripada kehilangan atau kerosakan setelah wujudnya harta.

1)      Dari Segi Wujud
Bagaimanakah cara untuk mewujudkan harta, mengembangkan harta dan mensyukurinya sebagai aset yang diberi oleh Allah?

a)      Berusaha dan bekerja mencari rezeki.
Secara logiknya, harta tidak akan diperolehi jika seseorang itu hanya duduk berehat dan bersandar pada kerusi empuk di rumah. Bahkan, harta hanya boleh dihasilkan melalui suatu pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang. Justeru, Islam amat menggalakkan umatnya supaya berusaha mencari pekerjaan yang baik lagi halal supaya beroleh kesenangan di dunia dan keberkatan di akhirat. Saranan bekerja dapat dilihat dalam firman Allah :
( فإذا قضيت الصلاة فانتشروا في الأرض واتنغوا من فضل الله..[3] ) yang bermaksud : Setelah selesai menunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi  (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah.

b)      Menginfakkan harta pada jalan Allah.
Ini adalah salah satu cara yang berkesan untuk mensyukuri nikmat Allah selain cara untuk mengembangkan lagi harta yang dimiliki. Ini kerana apabila seseorang itu bersedekah, berzakat atau memberi hadiah kepada orang lain, Allah memberi jaminan bahawa harta pemberi itu tidak berkurang malah akan dilipatgandakan oleh Allah s.w.t. Ini seperti firman Allah : 
([4](مثل الذين ينفقون أموالهم في سبيل الله كمثل حبة أنبتت سبع سنابل في كل سنبلة مائة حبة 
bermaksud : Perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji lagi. Tambahan pula, harta yang diinfakkan itu akan menyucikan harta-harta mereka daripada sumber yang diragui serta menyucikan hati mereka dari sifat bakhil dan kedekut.

2)      Dari Segi ‘Adam
Allah telah mengajar manusia pelbagai kaedah dan cara dalam menjaga harta daripada kerosakan dan kehilangannya. Begitu juga Allah telah menetapkan hukuman dan ancaman bagi mereka yang merosakannya dengan sengaja.

a)      Pengharaman judi
Judi adalah satu bentuk permainan dan pertaruhan yang merugi dan melalaikan.  Perkataan judi (الميسر) dalam al-Quran selalu digandingkan dengan perkataan arak (الخمر). Perkara ini ada dinyatakan dalam al-Quran iaitu firman Allah :
يسئلونك عن الخمر الميسر قل فيهما إثم كبير ومنافع للناس وإثمهما أكبر من نفعهما[5])
bermakna :Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi, katakanlah : Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi doa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.
Juga ada dinyatakan bahawa arak dan judi merupakan faktor kepada permusuhan dan kebencian manusia angkara hasutan syaitan. Maka, kedua-duanya mendatangkan kemudharatan kepada manusia dan bertentangan dengan maqasid syariah.

b)      Pengharaman riba
Firman Allah : ([6] (يأيها الذين آمنوا لا تأكلوا الربوا أضعافا مضعفةbermaksud : Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda.
Riba’ merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan hilangnya perasaan hormat-menghormati, tolong menolong selain merupakan satu bentuk penindasan seseorang yang kaya kepada yang miskin. Harta yang diperolehi daripada riba’ adalah haram dan ia menyumbang kepada kekotoran dan kemusnahan harta tersebut. Maka, dalam memelihara dan menjaga harta kurniaan Allah, elemen riba’ perlu dihapuskan daripada sistem kehidupan masyarakat muslim.

c)      Pengharaman pembaziran
Pembaziran adalah satu bentuk kemusnahan harta yang seringkali dilakukan manusia. Kehendak tambahan (bukan barang keperluan) yang ingin dipenuhi akhirnya memakan diri apabila harta yang dibelanjakan tidak lagi berbaki. Maka, inilah yang dikatakan boros dan membazir. Allah menyifatkan orang yang suka membazir sebagai saudara syaitan, yang mana mereka berkongsi sifat kufur yang sama. Firman Allah :
 (ولا تبذر تبذيرا. إن المبذرين كانوا إخوان الشياطين. وكان الشيطان لربه كفورا[7]) yang bermaksud : Janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

d)     Pengharaman mencuri
Syariat Islam meletakkan kesalahan mencuri sebagai salah satu bentuk kesalahan di bawah kategori hukuman  hudud. Hukuman bagi pencuri adalah dengan memotong tangannya agar timbul kesedaran dan penyesalan kepada pelaku dan juga pengajaran kepada orang lain untuk takut melakukan jenayah sedemikian. Firman Allah : (السارق والسارقة فاقطعوا أيديهما[8]) bermaksud : Dan orang lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri maka potonglah tangan mereka.

Kesimpulan

Maka jelaslah di sini bahawa Allah tidak mengurniakan harta kepada manusia secara sia-sia, malah manusia itu sendiri diuji pengurusannya terhadap harta, samada harta itu akan menjadi fitnah bagi dirinya ataupun akan membantu si pemilik meningkatkan ganjaran pahala. Samada manusia akan kufur dan lalai dengan pinjaman yang Allah beri, ataupun sentiasa bersyukur dan menginfakkan hartanya pada jalan Allah. Justeru, beberapa aspek pemeliharaan harta perlulah diberi perhatian dan dijauhi bagi yang haram supaya harta yang diperolehi tersebut terus diberkati dan menjadi saham kita di akhirat kelak.

Rujukan

Ali Ahmad al-Jurjani. Hikmah Penetapan Hukum Syarak. 2009. Pustaka al-Safa.
Muhammad Tahir Ibn ‘Asyur. Maqasid al-Syariah al-Islamiyah. 1998. (مقاصد الشريعة الإسلامية)
Wahbah Zuhailiy. Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. 2004. Jil. 4. Dar al-Fikr. (الفقه الإسلامي وأدلته)
Yaminah Sa’id. Maqasid al-Syariah wa Atharuha fi al-Jam’ wa al-Tarjih Bayna  al-Nusus. 2007. Beirut: Dar Ibn Hazm. (مقاصد الشريعة وآثارها في الجمع والترجيح بين النصوص)
Yusuf Hamid al-‘Alim. Maqasid al-‘Ammah li al-Syariah al-Islamiyah. 1991. Al-Maahad al-‘Alami li al-Fikr al-Islami. (مقاصد العامة للشريعة الإسلامية)



[1] Surah al-Kahfi: 46.
[2] Surah al-Anfal: 28.
[3] Surah al-Jumuah: 10.
[4] Surah al-Baqarah: 261.
[5] Surah al-Baqarah: 219.
[6] Surah Ali Imran: 30.
[7] Surah al-Isra’ :26-27.
[8] Surah al-Maidah: 38.

1 comment:

kahalerabas said...

Casino Tycoon (Playtech, Virgin Games) - JAMH Hub
Get ready 청주 출장마사지 to experience 서귀포 출장샵 the thrill 전라북도 출장마사지 of gaming with Playtech's Casino Tycoon! Playtech™ Games from the comfort 제천 출장샵 of 광명 출장샵 your own home.