Monday, 11 June 2012

Pemeliharaan Akal (حفظ العقل)

Pendahuluan

Akal merupakan satu nikmat pemberian oleh Allah kepada manusia. Dengan akal, manusia dapat berfikir tentang Allah dan hikmah penciptaan alam semesta. Lantas membezakan mana kaca mana permata, yang mana hak dan mana batil serta dapat menjalani kehidupan dengan lebih teratur dan harmoni. Manakala tanpa akal fikiran, manusia tidak bisa dibezakan dengan haiwan bahkan keadaan orang yang tidak menggunakan akal fikiran mengikut haluan syara lebih teruk dan hina daripada haiwan ternakan! Namun begitu, akal manusia bersifat terbatas, dan keterbatasan itu tidak menjadikan umat Islam sebagai pemakmur dunia yang lemah. Bahkan menyebabkan manusia sangat bergantung kepada burhan, atau dalil dan petunjuk daripada Allah melalui al-Quran dan juga al-sunnah seterusnya terus berada di jalan yang benar. Mana mungkin kita fikirkan bagaimana langit itu diciptakan tanpa tiang, sedangkan Allah Maha Kuasa Lagi Maha Kuat untuk menjadikan segala sesuatu. Setiap umat Islam wajib mensyukuri nikmat Allah ini dan memeliharanya sebaik mungkin supaya umat Islam menjadi umat yang cerdik, bijaksana dan berdaya upaya yang tinggi.


Cara Memelihara Akal


1) Dari Segi Wujud
Akal manusia telah sedia ada wujud sejak mula diciptakan.  Maksud memelihara akal dari segi wujud ini adalah bagaimana cara manusia untuk sentiasa menghidupkan akal, dan menyuburkannya supaya tidak lumpuh dan beku.


a) Kewajipan menuntut ilmu
Setiap umat Islam diwajibkan menuntut ilmu Allah tidak kira ilmu dalam bidang apa sekalipun. Ini kerana asas dan sumber kepada setiap ilmu adalah daripada Allah, dan wajib bagi kita untuk menyandarkan semua yang telah dipelajari kepada-Nya dengan matlamat untuk mencapai keredhaan Allah di samping membantu manusia lain. Hadith Nabi  dari riwayat yang sahih : طلب العلم فريضة على كل مسلم 
yang bermaksud: menuntut ilmu itu merupakan satu kefardhuan atas setiap muslim (sama ada lelaki atau perempuan.)
Orang yang berilmu dan memanfaatkan ilmu pada jalan yang benar, serta membantu manusia berdasarkan ilmu yang diperolehi akan dikurniakan nikmat dan ganjaran yang besar dan berterusan daripada Pemilik Segala Ilmu. Dalam al-Quran juga banyak menyebut tentang orang yang berilmu (أفلا يعلمون), orang yang berakal (أفلا تعقلون), orang yang bertadabbur (أفلا تتدبرون), orang yang berfikir (أفلا تتقكرون)  dan semuanya berkaitan dengan akal manusia supaya digunakan untuk berfikir berdasarkan ilmu. Sesungguhnya, amatlah berbeza bagi orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui sepertimana yang Allah firmankan dalam al-Quran. Lantas, ia mengelakkan akal dari beku dan kaku bahkan dapat menghasilkan minda muslim yang produktif!


b) Menyubur dan meningkatkan ilmu pengetahuan
Kepentingan menghidupkan akal dengan ilmu telah dibuktikan dengan beberapa ayat al-Quran yang menyatakan bahawa  orang berilmu akan diberi kebaikan kepada si penuntut ilmu. Hadith Nabi Muhammad s.a.w berbunyi :
من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين  
yang bermaksud "sesiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya, nescaya Allah menjadikannya faqih pada agamanya."
Ini juga merupakan satu bentuk jaminan bahawa sesiapa yang menuntut ilmu dan faqih terhadap apa yang dipelajari, maka akan mendapat kebaikan di dunia dan akhirat dengan izin Allah. Akal yang sihat dan waras akan sentiasa haus dengan ilmu yang pastinya tidak akan habis. Jika kehidupan tidak dilengkapi dengan ilmu pengetahuan, maka umat Islam akan terpedaya dengan kehendak dan tuntutan dunia dan seterusnya merugi dan mensia-siakan nikmat akal yang telah Allah kurniakan.


2) Dari Segi 'Adami
Bagaimana cara kita mensyukuri dan memelihara akal daripada rosak dan tidak berguna?


a) Tidak meminum arak, dadah dan seumpamanya.
Arak diharamkan dalam Islam kerana ia membawa seribu satu kemudharatan kepada manusia. Bermula dengan khayal, kemudian tidak tahu apa yang diucap, bertelingkah, bergaduh, bunuh membunuh, berzina dan menghina Islam! Semuanya dalam keadaan yang tidak terkawal. Allah berfirman dalam Surah al-Maidah ayat 90 :
Bermaksud : Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya meminum arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib, adalah termasuk dalam perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu beroleh kejayaan.


Jika difahami, orang yang menjauhi perkara-perkara ini akan mendapat keuntungan dan kejayaan di sisi Allah. Sebaliknya, orang yang meminum arak dan berjudi sudah tentu akan gagal dan akan menanggung kemelesetan dalam hidupnya di dunia.


b) Tidak memikirkan perkara-perkara yang lagha dan maksiat.
Orang yang selalu memikirkan dan berkhayal tentang sesuatu perkara yang buruk (maksiat) boleh menyebabkan matinya akal. Tidak kuat ingatan, sukar untuk menghafal sesuatu dan sering gagal dalam kehidupan antara beberapa kesan jika seseorang yang lalai terus dibuai mimpinya. Ilmu itu adalah nur, dan nur tidak akan masuk ke dalam hati orang yang bermaksiat. Justeru, akal akan mati, iman akan terkubur.


Kesimpulan


Kehidupan manusia akan jadi seimbang, tenteram dan aman jika dikuasai oleh akal yang berorientasikan iman dan taqwa. Jauhi segala apa yang diharamkan oleh Allah supaya tidak dikawal oleh akal yang gila dan membuat kita terjebak ke lembah kehancuran. Juga laksanakan segala tuntutan Allah, dihiasi dengan kecantikan hajiyat dan tahsiniyat dalam memelihara akal bagi mendapatkan akal yang sihat dan cerdas.




           Rujukan



Al-Fasi, ‘Ilal. 1991. Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyah wa Makarimuha. RabatDar 
al-Gharb al-Islami. (مقاصد الشريعة الإسلامية ومكارمها)

Al-Hamim, Abdul Latif. Al-Dharuri fi ‘Ilmi Usul al-Fiqh. (الضروري في علم أصول الفقه)
Ibnu ‘Asyur, Muhammad Thahir. 2001. Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyah. Jordan: Dar
al-Nafais.(مقاصد الشريعة الإسلامية)

Al-Izz Abdul Salam. 2002. Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam. Beirut : Dar 
al-Ma’rifah.(قواعد الأحكام في مصالح الأنام)

Al-Raisuni, Ahmad. 1992. Nazariyyat al-Maqasid’Inda al-Imam al-Syatibi. Beirut : 
Al-Maahad al-‘Alami li al-Fikr al-Islami. (نظريات المقاصد عند الإمام الشاطبي)

Ziyad Muhammad Ihmidan. 2004. Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyah. Beirut: 
Muassasah al-Risalah Nasyirun. (مقاصد الشريعة الإسلامية)





Thursday, 7 June 2012

Pemeliharaan Harta (حفظ المال)


Pendahuluan

Harta adalah aset yang penting dalam kehidupan manusia. Jika tiada harta, maka keperluan asasi manusia tidak dapat dipenuhi kerana proses transaksi atau apa-apa aktiviti muamalat seperti jual beli, sewa, wasiat dan zakat semuanya berkaitan dengan harta. Pemeliharaan dan penggunaan harta dengan amanah amat dituntut dalam Islam kerana melalui harta juga, manusia boleh terhumban ke dalam gaung kemaksiatan dan kehancuran. Ini disebutkan oleh Allah sebagai ujian, fitnah, perhiasan dan permainan kepada manusia dalam banyak ayat, antaranya :
 ( المال والبنون زبنة الحياة الدنيا[1]) yang bermaksud : harta benda dan anak pinak merupakan perhiasan kehidupan di dunia. 
Allah juga berfirman : (واعلموا أنما أموالكم وأولادكم فتنة[2]) yang bermaksud : Dan ketahuilah bahawa harta benda dan anak-anak kamu itu hanyalah fitnah (ujian). Maka, kuasa menggunakan dan memelihara harta adalah di bawah seliaan pemilik harta itu sendiri, samada saham harta tersebut sebagai kebaikan buatnya, ataupun sebagai kemudharatan baginya kelak.

Cara Memelihara Harta (حفظ المال)

Pemeliharaan harta menurut syara’ terbahagi kepada dua aspek, iaitu dari segi wujud (وجود): iaitu melakukan sesuatu yang boleh mewujudkan, mengekalkan atau mengembangkannya, dan dari segi ‘adam (عدم): iaitu memelihara sesuatu daripada kehilangan atau kerosakan setelah wujudnya harta.

1)      Dari Segi Wujud
Bagaimanakah cara untuk mewujudkan harta, mengembangkan harta dan mensyukurinya sebagai aset yang diberi oleh Allah?

a)      Berusaha dan bekerja mencari rezeki.
Secara logiknya, harta tidak akan diperolehi jika seseorang itu hanya duduk berehat dan bersandar pada kerusi empuk di rumah. Bahkan, harta hanya boleh dihasilkan melalui suatu pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang. Justeru, Islam amat menggalakkan umatnya supaya berusaha mencari pekerjaan yang baik lagi halal supaya beroleh kesenangan di dunia dan keberkatan di akhirat. Saranan bekerja dapat dilihat dalam firman Allah :
( فإذا قضيت الصلاة فانتشروا في الأرض واتنغوا من فضل الله..[3] ) yang bermaksud : Setelah selesai menunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi  (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah.

b)      Menginfakkan harta pada jalan Allah.
Ini adalah salah satu cara yang berkesan untuk mensyukuri nikmat Allah selain cara untuk mengembangkan lagi harta yang dimiliki. Ini kerana apabila seseorang itu bersedekah, berzakat atau memberi hadiah kepada orang lain, Allah memberi jaminan bahawa harta pemberi itu tidak berkurang malah akan dilipatgandakan oleh Allah s.w.t. Ini seperti firman Allah : 
([4](مثل الذين ينفقون أموالهم في سبيل الله كمثل حبة أنبتت سبع سنابل في كل سنبلة مائة حبة 
bermaksud : Perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji lagi. Tambahan pula, harta yang diinfakkan itu akan menyucikan harta-harta mereka daripada sumber yang diragui serta menyucikan hati mereka dari sifat bakhil dan kedekut.

2)      Dari Segi ‘Adam
Allah telah mengajar manusia pelbagai kaedah dan cara dalam menjaga harta daripada kerosakan dan kehilangannya. Begitu juga Allah telah menetapkan hukuman dan ancaman bagi mereka yang merosakannya dengan sengaja.

a)      Pengharaman judi
Judi adalah satu bentuk permainan dan pertaruhan yang merugi dan melalaikan.  Perkataan judi (الميسر) dalam al-Quran selalu digandingkan dengan perkataan arak (الخمر). Perkara ini ada dinyatakan dalam al-Quran iaitu firman Allah :
يسئلونك عن الخمر الميسر قل فيهما إثم كبير ومنافع للناس وإثمهما أكبر من نفعهما[5])
bermakna :Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi, katakanlah : Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi doa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.
Juga ada dinyatakan bahawa arak dan judi merupakan faktor kepada permusuhan dan kebencian manusia angkara hasutan syaitan. Maka, kedua-duanya mendatangkan kemudharatan kepada manusia dan bertentangan dengan maqasid syariah.

b)      Pengharaman riba
Firman Allah : ([6] (يأيها الذين آمنوا لا تأكلوا الربوا أضعافا مضعفةbermaksud : Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda.
Riba’ merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan hilangnya perasaan hormat-menghormati, tolong menolong selain merupakan satu bentuk penindasan seseorang yang kaya kepada yang miskin. Harta yang diperolehi daripada riba’ adalah haram dan ia menyumbang kepada kekotoran dan kemusnahan harta tersebut. Maka, dalam memelihara dan menjaga harta kurniaan Allah, elemen riba’ perlu dihapuskan daripada sistem kehidupan masyarakat muslim.

c)      Pengharaman pembaziran
Pembaziran adalah satu bentuk kemusnahan harta yang seringkali dilakukan manusia. Kehendak tambahan (bukan barang keperluan) yang ingin dipenuhi akhirnya memakan diri apabila harta yang dibelanjakan tidak lagi berbaki. Maka, inilah yang dikatakan boros dan membazir. Allah menyifatkan orang yang suka membazir sebagai saudara syaitan, yang mana mereka berkongsi sifat kufur yang sama. Firman Allah :
 (ولا تبذر تبذيرا. إن المبذرين كانوا إخوان الشياطين. وكان الشيطان لربه كفورا[7]) yang bermaksud : Janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

d)     Pengharaman mencuri
Syariat Islam meletakkan kesalahan mencuri sebagai salah satu bentuk kesalahan di bawah kategori hukuman  hudud. Hukuman bagi pencuri adalah dengan memotong tangannya agar timbul kesedaran dan penyesalan kepada pelaku dan juga pengajaran kepada orang lain untuk takut melakukan jenayah sedemikian. Firman Allah : (السارق والسارقة فاقطعوا أيديهما[8]) bermaksud : Dan orang lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri maka potonglah tangan mereka.

Kesimpulan

Maka jelaslah di sini bahawa Allah tidak mengurniakan harta kepada manusia secara sia-sia, malah manusia itu sendiri diuji pengurusannya terhadap harta, samada harta itu akan menjadi fitnah bagi dirinya ataupun akan membantu si pemilik meningkatkan ganjaran pahala. Samada manusia akan kufur dan lalai dengan pinjaman yang Allah beri, ataupun sentiasa bersyukur dan menginfakkan hartanya pada jalan Allah. Justeru, beberapa aspek pemeliharaan harta perlulah diberi perhatian dan dijauhi bagi yang haram supaya harta yang diperolehi tersebut terus diberkati dan menjadi saham kita di akhirat kelak.

Rujukan

Ali Ahmad al-Jurjani. Hikmah Penetapan Hukum Syarak. 2009. Pustaka al-Safa.
Muhammad Tahir Ibn ‘Asyur. Maqasid al-Syariah al-Islamiyah. 1998. (مقاصد الشريعة الإسلامية)
Wahbah Zuhailiy. Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. 2004. Jil. 4. Dar al-Fikr. (الفقه الإسلامي وأدلته)
Yaminah Sa’id. Maqasid al-Syariah wa Atharuha fi al-Jam’ wa al-Tarjih Bayna  al-Nusus. 2007. Beirut: Dar Ibn Hazm. (مقاصد الشريعة وآثارها في الجمع والترجيح بين النصوص)
Yusuf Hamid al-‘Alim. Maqasid al-‘Ammah li al-Syariah al-Islamiyah. 1991. Al-Maahad al-‘Alami li al-Fikr al-Islami. (مقاصد العامة للشريعة الإسلامية)



[1] Surah al-Kahfi: 46.
[2] Surah al-Anfal: 28.
[3] Surah al-Jumuah: 10.
[4] Surah al-Baqarah: 261.
[5] Surah al-Baqarah: 219.
[6] Surah Ali Imran: 30.
[7] Surah al-Isra’ :26-27.
[8] Surah al-Maidah: 38.